INFO YANG DITERBITKAN MUNGKIN SEADANYA PADA TARIKH DITULIS. TARIKH DITULIS TIDAK SAMA DENGAN TARIKH DITERBITKAN. PERTAMBAHAN ATAU PERUBAHAN TERHADAP INFO TERSEBUT DITULIS DAN DITERBITKAN PADA TARIKH-TARIKH YANG SETERUSNYA. Contoh: 'ORANGNYA' DITERBITKAN DAHULU TETAPI 'CERITANYA' DITERBITKAN KEMUDIAN. SILA BANTU MEMBANTU SESAMA SENDIRI dalam MENCARI keturunan, keilmuan dan ketuhanan.
SIAP 3/26/15 rUKUN iSLAM (Kulit)
SAMBUNG 3/26/15 tUJUH cONTOH fITNAH
[Belajar Al Quran]

20111125

Alumni 4B Pahang - pemimpin yang masih diperlukan

Majlis Jamuan Makan Malam Mesra Alumni 4B Negeri Pahang (Persatuan Ahli Bekas 4B Malaysia) - Ketibaan YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam. Presiden Alumni 4B Malaysia - Ketibaan YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob. Menteri Besar Pahang - Ucapan Aluan Pengerusi - Bacaan Doa oleh Tuan Haji Shabati bin Md Lela - Jamuan Makan Malam - Ucapan YH Dato' Haji Faisal bin Haji Abdullah. Pengerusi Alumni 4B Negeri Pahang - Ucapan YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam. Presiden Alumni 4B Malaysia - Ucapan YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob. Menteri Besar Pahang - Penyempaian Cenderamata - Bersurai.

Turut hadir adalah YB Shafik Fauzan Exco Pelancongan (Adun Peramu) dan YB Norolazali b Sulaiman Presiden Majlis Belia (Adun Guai).

 Persatuan Ahli Bekas 4B Malaysia (Alumni 4B Negeri Pahang) telah berjaya mengumpul bekas-bekas ahli 4B Pahang pada 24hb November 2011 (Khamis). Hampir kesemua bekas ahli 4B Pahang telah berhimpun di Kediaman Menteri Besar Pahang.

Bila semuanya dan tua-tua memang terasa nak berkumpul semula sambil bertanya khabar kepada rakan-rakan bekas ahli belia 4B. Untuk itulah tertubuhnya Alumni 4B iaitu Persatuan Ahli Bekas 4B Malaysia. Walaupun dan tua-tua mereka semua ada semangat untuk terus berjuang bagi membantu mempertahankan kerajaan yang ada.

 Kita semua perlu merasa bimbang apabila ada unsur-unsur luar sedang cuba mengajar anak-anak muda kita supaya menuntuk kebebasan. Kebebasan bersuara, kebebasan bertindak malah kebebasan melakukan hubungan sex. Kalau kita berlembut dan mengalah negara kita akan hancur.

Dalam agama mana-mana sekalipun mana ada kebebasan. Semua perkara ada peraturan. Kita tidak mahu anak-anak muda kita dan rakyat kita disogok dengan isu kebebasan. Akhir sekali kebebasan yang kita gila-gilakan tersebut akan menyebabkan anak cucu kita terjajah.

Yang paling penting kita ada Al-Quran sebagai pegangan. Kalau kita tidak dapat memahami maksud bacaan Al-Quran, kita perlu membaca tafsiran Al-Quran. Kalau kita sendiri dah baca barulah kita dengan apa orang kata. Kalau niat kita lurus semasa membaca Al-Quran Allah SWT akan mambantu kita memahami isi tafsiran Al-Quran.

Berikut disertakan tip dan panduan yang telah menjadi pegangan pemimpin-pemimpin kita.
 1. Jangan sombong dan jauhi dari mengungkit jasa-jasa sendiri. Tidak ada manusia yang boleh membuat semua kerja dengan sendirian melainkan akan sentiasa ada orang lain yang terlibat memberi sumbangan kepada kejayaan tersebut. Sesuatu idea memerlukan peranan buruh, petani, nelayan, pemandu, tukang masak, pemandu teksi, tukang buat air, tukang kasut, tukang rumah dan macam-macam tukang. Makanya begitu tidak timbul jasa itu perlu diungkit seolah-oleh dirinyalah yang berbuat.
 2.Jangan mendabik dada atas kejayaan, kerana untuk menghindari syirik khafi yang merasakan dirinya berbuat dan membuat kejayaan.
 3. Tidak terburu-buru dan beremosi menjawab tuduhan. Atau kita perlu menjawab tuduhan jawablah sekadar menjelaskan sesuatu kekeliruan atau untuk tujuan menghilangkan fitnah.
 4. Bercakap atas dasar ilmu.
 5. Mampu membentuk masyarakat dan bukan masyarakat yang membentuk kita kerana kerana kita mempunyai prinsip yang teguh. Prinsip hidupnya adalah syariat Tuhan yang amat sempurna yang tidak berubah di sepanjang zaman.
 5. Biarkan musuh amat sangat membenci kita tetapi hati mereka mengakui kebenaran yang kita bawa.
 6. Tidak mudah kecewa dan tidak mudah putus asa.
 6. Jangan ugut masyarakat. Kerana ancaman dan ugutan hanya jalan keluar dan usaha akhir setelah segala ikhtiar lain tidak dilaksanakan. Ugutan dan ancaman jangan dijadikan senjata permulaan berjuang dalam memperelokkan perangai, akhlak, tabiat dan tingkah laku rakyat. Apabila seorang pemimpin itu hatinya sangat tunduk, patuh dan hancur lebur kepada Tuhannya, Tuhan jadikan hati rakyatnya tunduk, patuh dan setia kepada kepimpinannya atas dasar kerana patuh kepada perintah Tuhan. Apabila hati pemimpin itu lari dan liar dari Tuhan, maka Tuhan jadikan hati rakyatnya turut liar dan ingkar dari kepimpinannya. Bagi seorang pemimpin kebenaran apabila berlaku keingkaran rakyatnya dia akan kembali membaiki dirinya dan menambahelokkan hubungan hatinya dengan Tuhan.
 7. Cita-cita dan kemahuan kita perlu tinggi dan tegas
Menjadi pemimpin adalah ketentuan Allah SWT.. Segala keperluan terutamanya ciri-ciri dan syarat-syarat kepimpinan akan dilengkapkan. Salah satu daripadanya ialah mempunyai cita-cita yang tinggi dan kemahuan yang kuat. Tanpa cita-cita tinggi dan kemahuan yang kuat, kita akan gagal melaksanakan kerja-kerja kepimpinannya. Bukan mudah untuk membawa manusia kembali kepada Tuhan dan hidup bersyariat. Terlalu banyak halangan dan rintangan, terutamanya dari nafsu manusia itu sendiri. Sejarah telah memperlihatkan betapa sukarnya para rasul berhadapan dengan kaumnya sendiri. Sedikit sangat yang menerima seruan para rasul. Kebanyakannya menjadi penentang. Penentangan pula hingga sampai ke tahap tergadai nyawa seperti Nabi Zakaria dan dihumban ke dalam unggun api seperti Nabi Ibrahim.

Begitu besar ancaman kepada pemimpin yang berpegang kepada kebenaran. Kalaulah kita tidak punyai cita-cita tinggi dan kemahuan yang kuat, nescaya kita akan mudah mundur, kecewa dan putus asa. Kerana tidak mundur, tidak kecewa dan tidak putus asa maka kita akan tetap meneruskan perjuangan dengan seribu satu macam cara, strategi dan teknik. Apa yang utama bagi kita ialah manusia mesti dibawa kepada Tuhan. Keyakinan dan cinta kepada Tuhan dan hari Akhirat menjadikan mereka tidak tergugat dengan kesusahan mahupun kelazatan dunia serta tidak menjejaskan cita-cita tinggi dan kemahuan kuat untuk membawa manusia kepada Tuhan.
 8. Pemimpin sentiasa Pemurah
Pemimpin yang kedekut orang akan benci. Kerana fitrah manusia membenci sifat kedekut. Orang yang kedekut sekalipun amat menyenangi kalau orang lain pemurah kepadanya. Dalam konteks menyebarkan kebenaran, menambat hati manusia amat penting. Bagaimana kebenaran hendak disampaikan kalau manusia menolaknya dan menjauhkan diri lantaran kedekut. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Pemurah itu hampir dengan Allah, hampir dengan manusia, hampir dengan Syurga dan jauh dari Neraka. Manakala kedekut pula jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari Syurga dan dekat dengan Neraka."

Mengapa orang yang pemurah itu dekat dengan Allah SWT? Kerana dia memakai salah satu sifat pemurah Allah SWT.. Allah SWT menyukai pemimpin yang pemurah dan membenci pemimpin yang sombong. Pemurahnya seorang pemimpin pula dapat menjadi contoh kepada manusia lain. Dalam masyarakat yang rata-rata pemurah, sudah tentu berlaku saling bantu-membantu. Apabila ada sikap saling bantu-membantu maka kasih sayang semakin subur dan perpaduan akan kukuh. Pentingnya sifat pemurah para pemimpin yang akhirnya dapat mengukuhkan perpaduan.
 9. Berlaku Adil adalah keutamaan
Keadilan adalah sesuatu yang paling banyak dituntut oleh masyarakat. Oleh kerana keadilan itu banyak dituntut untuk diri sendiri maka ketidakadilan itu pula paling banyak dituding kepada orang atau pihak lain. Berlakubya ini kerana ada yang tidak memahami erti keadilan yang sebenar. Dalam waktu yang sama masing-masing mentakrifkan keadilan itu menurut pengertian sendiri dan untuk kepentingan diri atau kelompok sendiri.

Contoh paling mudah berhubung perbezaan erti keadilan ialah antara fahaman demokrasi dan komunis. Ini belum lagi diambil kira tentang perbezaan erti keadilan menurut individu atau satu kelompok. Antara kerajaan dan rakyat pun sering berlaku pertikaian mengenai keadilan. Dalam Islam, keadilan itu ertinya meletakkan sesuatu itu tepat pada tempatnya. Apabila diperincikan lagi huraiannya amat luas. Ianya bermula dengan meletakkan hati dan roh itu tepat pada tempatnya yakni sangat kenal Tuhan, mahu kepada Tuhan, sangat perlukan rasa bertuhan. Inilah keadilan yang paling pokok dan utama. Apabila hati atau roh tidak dibawa kepada rasa bertuhan maka kezaliman berlaku.
 
Pemimpin yang zalim adalah pemimpin yang tidak berlandaskan Al-Quran, tidak membawa masyarakat memahami kehendak ajaran dalam Al-Quraan. Lebih-lebih lagilah apabila menyokong perkara yang bertentangan dengan Al-Quraan. Pemimpin menjadi adil apabila mengamalkan syariat dalam apa aspek sekalipun. Dan syariat itu pula dibawa kepada keluarga, masyarakat, negara dan ummat. Barulah diiringi pula dengan keadilan dalam menentukan bidang-bidang manusia mengikut bidang, urusan dan kemampuan, pembahagian harta benda menurut keperluan. Keadilan dalam soal hukum-hakam, penghakiman, perundingan dan yang berkaitan dengannya adalah sesuatu yang amat jarang berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam.

Keadilan dalam apa jua bentuk penghakiman dan hukuman sangat berkait rapat dengan soal iman dan taqwa. Bagi orang beriman dan bertaqwa, jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman maka dia menerimanya sebagai adil dan rela. Tanpa iman dan taqwa maka segala hukum yang dikenakan dianggap zalim. Oleh itu, kita hendaklah terlebih dahulu adil kepada diri kita iaitu dengan beriman dan bertaqwa.
 
Pemimpin yang adil itu tidak dilihat sekadar adil dalam mengagih harta benda sama banyak. Tidak ada indahnya andai berlaku keadilan dalam dua tiga aspek cabang ini. Sebab itu keadilan itu sifat yang sangat hampir kepada taqwa, kerana amat payah untuk berlaku adil secara keseluruhan bermula dengan adil kepada Allah SWT iaitu menjaga syariat dan menjaga akhlak dalam segala aspek. Inilah pakaian para rasul, khalifah Ar Rasyidin dan pemimpin pilihan Tuhan. Hati mereka dipimpin oleh Tuhan sehingga sekecil-kecil perkara diletakkan tepat pada tempatnya. Betapalah yang utama iaitu meletakkan hati tepat terhadap Tuhannya. Keadilan di sudut inilah yang membawa pemimpin kepada keadilan lainnya.
 10. Sangat sabar dengan karenah masyarakat
Pemimpin mesti memahami dan menerima hakikat bahawa manusia dengan masalah tidak ada noktahnya kecuali mati. Kalau begitu, seorang yang hendak menjadi pemimpin mesti memiliki kesabaran yang luar biasa. Oleh kerana banyaknya perkara yang "tidak boleh" kepada pemimpin maka sifat sabarlah yang dapat menahan daripada berlaku perkara yang tidak boleh itu.
Di antara perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pemimpin ialah:
a. Tidak boleh mudah tercabar dengan sebarang karenah masyarakat.
b. Tidak boleh mudah bermasam muka.c. Tidak mudah merajuk.
d. Tidak boleh membenci pencabar.
 11. Peka dengan kehidupan masyarakat
Susah senang, derita gembira, suka duka rakyat sangat dirasai. Kegembiraan rakyat adalah kegembiraan kita. Maka berlakulah suasana gembira di atas kegembiraan dan syukur di atas kesyukuran. Kesusahan, kesenangan dan penderitaan masyarakat  turut dirasai. Kesedihan rakyat adalah kesedihan hati kita juga. Musibah, ujian dan kegagalan rakyat, kita akan meletakkan diri kita sebahagian daripada mereka. Kesusahan hidup rakyat dianggap sebagai dosa diri kita. Sikap begini sukar untuk dimiliki kecuali atas kurniaan Tuhan.

Kalaupun kita dapat memenuhi keperluan material rakyat, namun melupakan soal-soal maknawiyah dan rohaniah. Ertinya tetap tidak sampai mengisi kebahagiaan di hati rakyat. Rakyat sendiri sudah hilang kasih sayang, tolong bantu, pemurah dan pemaaf. Kalaupun tidak bergaduh namun tidak pula bersatu padu. Hidup nafsi-nafsi. Akhirnya tetap juga dilanda oleh seribu satu macam masalah.
 12. Sedia mendengar pendapat masyarakat
Tidak ada manusia yang sempurna. Begitulah sifat manusia yang Tuhan jadikan. Agar dengan itu manusia benar-benar merasakan tidak sempurna, merasa lemah, dhaif dan serba kekurangan. Memang Tuhan menyukai manusia mengekalkan rasa kehambaan. Seorang hamba wajib merasakan dirinya hamba. Setiap manusia, Tuhan kurniakan kelebihan di sudut tertentu, lemah pula di sudut yang lain. Tuhan berikan keupayaan di bidang tertentu tetapi tidak mampu di bidang yang lain pula. Tuhan beri ilmu, cerdik dan bijak dalam hal tertentu, bodoh dan jahil pula dalam banyak perkara lain.

Hikmah di sebalik Tuhan jadikan begitu agar manusia dapat melihat dan merasakan bahawa Tuhan sahaja Zat yang Maha Sempurna. Hikmahnya selain dari itu ialah agar manusia berusaha menjalin hubungan dengan sebaik mugkin untuk menjadikan kehidupan manusia lebih baik dan selesa. Seorang pemimpin sentiasa memberi ruang kepada pengikutnya memberi pendapat, pandangan, idea dan cadangan. Bahkan sentiasa mengalu-alukan sumbangan buah fikiran tersebut yang disifatkan sebagai cadangan, dan dikemukakan dalam suasana kekeluargaan, persahabatan dan kemesraan. Perkongsian idea itu sentiasa dalam menjaga batas adab sopan dan tata susila. Rasulullah SAW menerima pendapat Salman Al Farisi dalam membina khandak (parit). Rasulullah SAW mengembalikan teknik kepada tuan punya kebun tamar. Dan banyak lagi peristiwa seumpama ini. Apa yang penting ialah yang empunya diri tidak merasakan dirinya orang istimewa atau merasakan dirinya lebih bijak berbanding pemimpin yang mendengar dan menerima pendapatnya. Sayidina Umar Ibnu Khattab adalah Sahabat yang paling kerap diterima pandangannya oleh Rasulullah SAW. Namun hatinya tidak cacat dengan meletakkan dirinya lebih baik dan lebih pintar. Dalam pada itu Sayidina Umar tidak kecil hati apabila pandangannya ditolak.

Tuhan kurniakan kepada para pemimpin itu beberapa kelebihan berbanding orang lain. Bergabung pada diri seorang pemimpin itu tiga kekuatan sekaligus iaitu kekuatan akal, perasaan dan jiwa. Gabungan tiga kekuatan itulah yang melayakkan dirinya menjadi pemimpin. Namun begitu, tidak pula boleh selama-selamanya mempertahankan hanya pendapatnya saja yang mesti diterima terutamanya dalam perkara harus dan teknikal. Ramai para diktator jatuh terhina dan tersungkur di hadapan rakyatnya sendiri kerana terlalu keras memaksa rakyatnya menerima apa saja keputusannya dalam keadaan keputusannya itu banyak yang silap.
 13. Jangan banyak gurauan dan jangan bercakap lucah
Ada keterangan di dalam kitab berdasarkan Hadis bahawa banyak gurau senda diiringi pula dengan ketawa akan menghilangkan seri wajah dan menjatuhkan wibawa. Gurauan yang berlebihan diselitkan pula dengan sindiran akan membawa kepada renggangnya persahabatan. Terdapat juga dalam kitab tasawuf yang mengatakan bahawa gurauan dan ketawa berlebihan itu mendatangkan kesat hati dan menghilangkan kekhusyukan. Puncanya ialah hati amat lalai dari Tuhan dan takut kepada Akhirat.

Rasulullah SAW juga bergurau dan berjenaka, tetapi masih dalam berkata benar. Sesuatu yang lucu disambut oleh Rasulullah SAW dengan senyuman yang lebar hingga boleh dilihat gigi gerahamnya, tetapi tidak sampai ketawa berdekah. Itupun seringkali Rasulullah SAW menutup mulutnya dengan tangan. Rasulullah SAW juga tidak bercakap lucah walaupun dalam perkataan "double meaning". Lucah atau mencarut adalah dosa. Lucah juga adalah sesuatu yang bersifat aib atau malu. Rasulullah SAW sangat pemalu. Sifat malu pula adalah sebahagian dari iman, bahkan kedudukannya sebagai benteng iman. Sikap inilah yang dibawa oleh pemimpin kebenaran sebagai gambaran akhlaknya salinan kepada akhlak Rasulullah SAW.
 14. Pemimpin adalah pemaaf
Selain sifat menahan marah, pemaaf juga termasuk sifat yang amat sukar dikuasi oleh kita atau orang yang berkuasa. Cuba bayangkan betapa rasa bertuah dan terhutang budinya seorang yang sabit kesalahan dan bakal menerima hukuman, tiba-tiba mendapat kemaafan. Tentulah dia akan merasakan sesuatu yang tidak ternilai dengan harta benda dan wang ringgit. Lebih-lebih lagi dirasakan amat tidak ternilai apabila kemaafan itu datangnya daripada pemimpin, kerana persepsi umum, seorang pemimpin itu terhadap mereka yang tidak bersalah pun sanggup dihukumnya. Betapalah kepada orang yang bersalah. Tentulah dianggap amat aneh apabila ada pemimpin yang sanggup memaafkan orang yang memang bersalah.

Pemaaf adalah senjata yang amat berkesan untuk menukar sikap manusia daripada jahat kepada baik. Sifat pemaaf seorang pemimpin membuatkan manusia tertambat hati dan mudah menerima pimpinan. Pemaafnya seorang pemimpin itu menghilangkan tekanan perasaan manusia. Dalam satu-satu masyarakat yang terlalu banyak berlaku hukuman itu tandanya didikan kurang berlaku. Hukuman pula menjadikan perasaan manusia tertekan. Timbullah rasa benci dan meluat, dendam kesumat dan terguris hati. Apabila ini berlaku, kebenaran yang dibawa oleh pemimpin itu turut ditolak, kesetiaan juga semakin luntur.

Manusia akan lebih cepat merasai bertuhan apabila mendapat kemaafan dari seorang pemimpin. Fitrahnya dapat merasai bahagia apabila terbongkar fitrah rasa bertuhan yang Tuhan itu bersifat sangat pemaaf. Sebab itulah pemimpin umat Islam sangat dituntut memiliki sifat pemaaf, kerana seorang pemimpin Islam itu dia adalah wakil atau khalifah atau pengganti Tuhan untuk urusan manusia.. Dengan cara itu manusia lebih mudah merasai betapa pemaafnya Tuhan yang maha pemaaf itu.
 15. Marahnya Dalam Batas Syariat
Di antara sifat yang amat payah dikawal oleh pemimpin adalah pemarah. Pemimpinlah yang mudah meluahkan perasaan marah, kadang-kadang tidak terbendung hingga mencemarkan maruah dan wibawa diri. Terjadinya pemarah kepada pemimpin kerana dia berkuasa atau mahu menonjolkan kuasanya. Dibolehkan marah, bahkan Tuhan merestuinya selagi dalam batas syariat, terutamanya marah dalam menjaga kesucian agama dan maruah diri serta keluarga, inilah namanya marah pada tempat yang tepat, atau marah di atas kebenaran. Begitupun dibolehkan, namun mesti pula di atas landasan syariat serta batas-batas, adab dan susila. Marah tetap marah, tetapi sikapnya tetap lemah lembut, kasih sayang serta tutur kata yang menunjuk ajar dan mendidik.

Orang yang kena marah itu dia tahu yang dirinya dimarahi namun hatinya tidak terguris. Hatinya tetap merasakan bahawa marah itu adalah marah mendidik. Berjayalah seorang pemimpin yang dapat mengawal hatinya dari marah nafsu dan syaitan. Dengan cara itu, dirinya terhindar dari jatuh kepada dosa, manakala manusia lain mendapat didikan. Marahnya kerana sayang, bukan kerana benci. Sehingga golongan yang dimarahi itu lebih cepat insaf dan sedar dan segera bertaubat, membuat perubahan dan segera kembali kepada kebenaran.
 16. Tidak menjawab kejian
Di sisi pemimpin sejati, pujian dan kejian sama sahaja. Mereka tetap melihat kepada hikmah di sebalik kejian itu. Baginya, kalau ada benarnya sesuatu kejian, maka kejian itu dapat digunakan untuk memperbaiki diri, untuk melihat cacat cela, kelemahan dan kekurangan diri. Dengan cara itu dia dapat mempertingkatkan rasa kehambaan dan membaiki kelemahan. Lihatlah sikap Rasulullah SAW yang memaafkan penduduk Thaif yang menghinanya. Malah baginda mendoakan agar zuriat mereka akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Untuk apa menjawab kejian orang yang tidak faham dan penuh hasad dengki? Jawabnya ialah sia-sia sahaja selagi hasad dengkinya masih bersarang di hati. Kalau dijawab juga ertinya akan panjangkan tempoh permusuhan dan melebarkan jurang perpaduan. Terhadap golongan yang mengejinya, kita ucapkan selamat sejahtera. Ertinya seolah-olah kita berkata kepada musuh kita: "Aku dengan keyakinan aku dan pendirian aku dan tidak akan memusuhi kamu. Terpulanglah kepada kamu, tapi apa yang kamu keji itu tidak akan menggugat pegangan aku, hanya aku harapkan kamu menerima kebenaran."
 17. Tidak selesa menerima pujian
Hati kita amat mudah berbunga apabila dipuji. Apabila menerima pujian, bunga hati yang paling mekar ialah ujub atau takabur. Merasa takjub, kagum dengan istimewanya diri kita kerana dikatakan mempunyai banyak kelebihan. Bagi seorang pemimpin sejati, pujian tidak merosakkannya. Hatinya merasakan pujian hanyalah untuk Tuhan semata-mata. Lantaran itu dia tidak senang dengan pujian itu kerana bimbang kalau-kalau hilang rasa kehambaan dari hatinya.

Berbeza dengan kebanyakan pemimpin dunia yang rosak kerana pujian dari para pengampu. Mereka lupa diri dan hilang rasa kehambaan. Akibatnya menjadi bertambah rakus dan zalim. Akhirnya menjadi buta dari melihat cacat cela dan kelemahan diri. Itu membuatkan dirinya tersungkur dan terhina lantaran terlalu banyak membuat kesilapan. Perkara yang silap itu pun masih lagi menerima pujian dari para pengampu yang sangat berkepentingan. Tuhan langsung dilupakan.
 18. Sentiasa tenang menerima ujian
Pemimpin pilihan sangat mengenal Tuhan, sangat memahami dan merasai kuasa Tuhan. Setiap benda, setiap kejadian, setiap peristiwa, ada kait-mengait dengan Tuhan. Tuhan mampu menjadikannya kita pemimpin yang amat sabar dan tenang dalam menghadapi dugaan. Pemimpin perlu dapat melihat dan merasakan itu adalah kehendak Tuhan yang para hamba tiada kuasa menolaknya, kita juga dapat melihat hikmah di sebalik ujian tersebut, yang di antaranya untuk menghapus dosa, meningkatkan darjat, menambah rasa kehambaan, mendekatkan diri dengan Tuhan, menajamkan dan menghidupkan akal dengan berfikir mencari jalan mengatasinya, menguatkan jiwa yang sentiasa terdedah kepada cabaran.
 19. Sentiasa menjaga tutur kata dan bahasa
Kebaikan yang keluar melalui lidah memang banyak. Kejahatannya juga amat banyak. Sehingga Rasulullah SAW kaitkan dengan iman, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau diam." Kebanyakan jenis kejahatan dari lidah itu pula adalah dalam bentuk yang membabitkan orang atau pihak lain. Dosa sesama manusia ini bukan terhenti setakat sukarnya diterima taubat dan sukar mendapat pengampunan Tuhan, tetapi ianya juga sangat menjejaskan hubungan sesama manusia.

Lidahlah yang menjadi penyebab kepada hilangnya kasih sayang, terjadinya krisis dan perpecahan, menjadi punca pecah hati dan permusuhan. Perkataan yang dihamburkan tanpa batasan, tanpa kawalan, tanpa tapisan, boleh meretakkan hati. Apabila hati sudah terguris, kebenaran yang hendak disogok menjadi hambar oleh para pendengar atau penerima. Di sinilah kelebihan dan kejayaan seorang pemimpin kebenaran. Tuturkatanya bersukat, bahasanya terpilih dan sangat dijaga. Jauh sekali dari umpat keji, maki hamun, sumpah seranah, kata nista, memfitnah, menghasut, mengutuk, mengadu domba, berbohong, memperleceh dan menghina orang.
 20. Sentiasa mengingatkan Tuhan dan mati
Dalam ajaran Islam perkara yang terpokok ialah yang terkandung dalam Rukun Iman. Manakala dari keseluruhan Rukun Iman itu, keimanan kepada Tuhanlah yang mengatasi segala-galanya. Maka dalam memperjuangkan Tuhan ini, Rasulullah SAW sendiri mengambil masa tiga belas tahun. Manakala hanya sepuluh tahun memperjuangkan syariat yang amat banyak itu. Ini membawa maksud bahawa mesti memperjuangkan Tuhan terlebih dahulu. Apabila manusia sudah merasai bertuhan, syariat Tuhan amat mudah diterima.

Pemimpin kebenaran, yang mana kebenaran itu tetap sama, tetap tidak berubah sepanjang zaman, maka itulah juga yang dilakukan iaitu mereka sangat mengajak manusia kepada Tuhan. Sangat mengajak manusia kepada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Sangat mengajak manusia merasai keagungan dan kebesaran Tuhan. Mengingatkan manusia mengenai Tuhanlah segala-galanya, dan perlunya membawa Tuhan dalam segala urusan. Tuhanlah yang paling utama yang mesti diberi perhatian dibandingkan dengan urusan lain.

Pemimpin kebenaran juga sangat mementingkan kehidupan Akhirat. Dunia ini sementara saja dan semata-mata alat menuju Tuhan. Alat untuk mencapai maksud iaitu menuju Tuhan dan mendapat ganjaran Akhirat. Apa saja yang dilakukan semuanya membawa maksud yang demikian itu. Bukan mudah untuk membawa hati manusia merasa takut kepada Tuhan dan sekaligus memandang besar akan kehidupan Akhirat. Dua perkara inilah yang sangat diberi penekanan oleh pemimpin kebenaran. Mereka tahu, manusia menjadi jahat kerana nafsu. Nafsu pula sifatnya tidak takut kepada apa dan siapa pun. Apabila hati manusia tidak takut kepada Tuhan dan tidak mengutamakan Akhirat, maka nafsu bermaharajalela. Kejahatan di dunia hari ini kerana manusia hidup mengikut nafsu, lantaran hati tidak takut kepada Tuhan, kerana tiada lagi orang yang mengingatkan atau menyeru manusia kepada Tuhan. Untuk mengembalikan kedamaian dan keselamatan di dunia maka pemimpin kebenaran sangat-sangat mengingatkan manusia terhadap Tuhan dan tempat kembali tanpa penghujung iaitu Akhirat.
 21. Kata-kata penuh hikmah
Rasulullah SAW dianugerahkan oleh Tuhan keistimewaan atau kelebihan yang mana kata-katanya tepat, ayatnya ringkas dan padat, tetapi mempunyai maksud yang jelas dan mudah difahami. Inilah yang dimaksudkan hikmah dalam berkata-kata. 

Begitulah juga yang Tuhan kurniakan kepada pemimpin kebenaran. Percakapan atau kata-kata yang datang dari hati ini yang merupakan ilham dari Tuhan, sangat mengandungi didikan dan pengajaran yang tinggi. Bahasa dan susunan kata-katanya amat bermakna, mudah pula difahami dan bersifat mendidik manusia. Sehingga dengan itu cepat pula manusia mengenal kebenaran dan cepat menerima kebenaran. Lebih-lebih lagi apabila kata-katanya itu datangnya dari hati, maka dengan mudah pula Tuhan jatuhkan di hati manusia. 

Kata-kata yang datang dari hati itu turut disertai oleh rohnya yang terus bekerja memproses hati manusia. Inilah di antara rahsia kejayaan para rasul dalam menyampaikan kebenaran, dan begitu jugalah yang Tuhan kurniakan kepada pemimpin kebenaran kerana Tuhan mahu kebenaran itu mudah diterima oleh manusia.
 22. Mendoakan penentang atau musuh
Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan sifat wajib bagi rasul itu salah satu daripadanya ialah menyampaikan. Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf. Demikianlah juga cita-cita dan keazaman yang dimiliki oleh pemimpin kebenaran di sepanjang zaman. Pemimpin pilihan Tuhan, yang mereka itu dipimpin oleh Tuhan, hati mereka dicanai sama seperti hati para rasul. Mereka merasa berdosa andainya tidak menyampaikan kebenaran.

Halangan serta risiko tidak dihiraukannya. Bahkan mereka menganggap halangan dan risiko itu sebagai sunnatullah. Bagi pemimpin kebenaran, apa yang lebih dititikberatkan ialah bagaimana kebenaran itu mesti disampaikan dan disebarluas. Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka bagi pemimpin kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Pemimpin kebenaran tetap berpegang kepada prinsip bahawa "manusia memusuhi apa yang dia tidak tahu." Oleh itu mereka mahu musuhnya menjadi tahu dan faham sehingga menerima kebenaran.

Menundukkan musuh bukan untuk dirinya tetapi untuk Tuhan. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Tuhan. Pemimpin kebenaran yang bersifat penyelamat ini hanya mahu manusia seluruhnya selamat dunia dan lebih-lebih lagi Akhirat. Tidak selamat di Akhirat amat dahsyat akibatnya iaitu Neraka. Neraka bukan perkara mainan kerana panasnya bukan macam api lilin. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan lahiriah untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka sepanjang tempoh menjadi penentang itu. Begitulah mulianya hati dan jiwa besar yang Tuhan anugerahkan kepada pemimpin kebenaran. Inilah hati para rasul.
 23. Tidak terlalu beremosi
Seorang pemimpin yang 'emosional', dalam erti kata sangat mudah memperlihatkan perubahan sikap dan watak mengikut situasi, sama ada yang menggembirakan atau menyusahkan, sama ada seronok atau benci, sama ada yang disenangi mahupun meluat. Seringkali emosinya itu tidak dapat dibendung atau dikawal. Kalau sesuatu yang disukai, menyeronokkan, yang disenangi dan menggembirakan, diperlihatkan atau diluah atau ditonjolkan kelebihan. Begitulah juga sebaliknya terhadap sesuatu yang dibenci, meluat, yang tidak disenangi, tidak selesa dan tidak sesuai dengan selera. Bagi seorang pemimpin, keterlaluan dalam menonjolkan emosi akan menjatuhkan maruah dan wibawa, lebih-lebih lagi kalau emosi itu terhadap yang dibencinya. Pemimpin sejati pembawa kebenaran bayangan Rasulullah SAW itu tidak emosi terutamanya apabila dikritik. Kritikan adalah sesuatu yang amat tidak disenangi oleh para pemimpin. Emosinya sangat tergugat, tersentuh dan tercabar apabila dikritik. Mudah saja melenting, melatah, marah-marah mempertahankan dirinya sekaligus akan menyerang kembali saingannya, pengkritik atau musuhnya.

Adakalanya dia kembali menyerang dengan membuta-tuli tanpa usul periksa, tanpa menimbang dan menilai kebenaran sesuatu kritikan. Malah sampai diiringi pula dengan tindak balas menghukum pengkritik. Alangkah tidak bermaruah apabila didapati bahawa pengkritik itu di pihak yang benar. Tentulah amat sukar untuk menebus kembali kesilapannya itu. Lantas kadang-kadang terpaksa bertindak lebih ganas untuk menutup segala kesilapannya. Ini akan mendatangkan akibat lebih buruk lagi di mana boleh menghakis kepercayaan lebih ramai manusia.

Seorang pemimpin kebenaran tidak beremosi. Dia sentiasa membiarkan kritikan itu berlalu begitu saja. Sama ada dirinya di pihak yang benar atau sebaliknya, emosinya tetap terkawal. Ketenangan itu seringkali membuahkan kesan positif, terutamanya apabila terbukti bahawa dirinya di pihak yang benar. Kalaupun pengkritik tidak menyerah kalah, namun berjaya dapat menutup mulutnya atau menjadikan pengkritik itu malu sendiri. Andainya ada juga benarnya di pihak pengkritik, dengan cara tidak emosi itu dia mengambil langkah mengkoreksi dirinya. Dengan cara itu bertambah lagi tinggi maruah dirinya yang akan menambah kepercayaan manusia kepadanya. Adakalanya terdapat juga kritik yang dilemparkan itu merupakan umpan para musuh. Apabila tidak dapat membendung emosi maka musuh cepat mengenal kelemahan. Taktik provokasi ini, biasanya musuh-musuh sudah menyediakan berbagai perangkap lain. Tidak hairan ramainya pemimpin gagal dalam berhadapan dengan karenah manusia kerana menghadapi mereka dengan penuh emosi.
 24. Bersifat kasih sayang dan pemurah
Kasih sayang adalah sifat utama milik Tuhan yang Tuhan sendiri mahu hamba-Nya mengenal-Nya dengan sifat tersebut. Sebab itu dalam apa saja pekerjaan atau amal, Tuhan mahu dimulai menyebut nama-Nya yang pemurah dan pengasih. Pemimpin kasih sayang adalah lambang perpaduan, manusia dapat bernaung di bawah pimpinannya. Manusia rasa terbela dan terdidik. Melalui kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima kebenaran. Hati yang liar dari Tuhan menjadi jinak. Ramai manusia yang kehidupannya rosak dan punah berpunca dari ketiadaan kasih sayang. Sebaliknya pula boleh berubah secara mendadak apabila diberikan kasih sayang. Hati yang gersang itu seolah-olah disirami air sehingga benih-benih iman subur semula. Tanpa perlu bersyarah panjang meleret atau tanpa perlu bercakap banyak, melalui kasih sayang, hati manusia merasa bertuhan. Hati manusia akan mudah merasakan, "Sedangkan pemimpin 'kasih sayang' sudah terasa keindahan mendampinginya, betapalah Tuhan yang bersifat Pengasih yang menjadikan pemimpin 'kasih sayang' tersebut."
 25. Berlemah-lembut
Allah SWT turut memberi peringatan kepada Rasulullah SAW tentang betapa manusia akan lari atau menjauhkan diri sekiranya bersikap keras dan kasar. Kebanyakan manusia yang memang telah sedia liar akan bertambah liar sekiranya para pemimpin menampilkan sikap yang menakutkan mereka. Mereka memanglah dari golongan yang tidak mengenal kebenaran. Sekiranya pembawa dan penjaja kebenaran bersikap bengis, baran, ganas dan kasar, bagaimana mereka dapat menerima kebenaran itu? Adakalanya mereka bukan menolak kebenaran, tetapi menolak para pembawa kebenaran. Apabila pembawa kebenaran ditolak, secara automatik kebenaran tidak dapat disampaikan. Sebelum kebenaran dapat disampaikan, adalah lebih berkesan sekiranya manusia dapat menerima pembawa kebenaran itu dulu.
 26. Pilihlah yang sesuai. Demikianlah himpunan 25 panduan yang boleh dibekalkan kepada golongan muda Belia 4B. Panduan-panduan tersebut tidak dapat terus meresap dalam diri masing-masing. Bukan semua panduan tersebut boleh diterima pakai oleh semua pemimpin. Ada yang boleh menggunakan sedikit sahaja tetapi digunakan dengan amat mendalam.
27. Pemimpin perlu tahu mengurus masa. Secara ringkasnya pengurusan masa seseorang pemimpin terbahgi kepada tiga. Ada pemimpin yang fokus kepada perkara yang lepas. Ada yang fokus kepada perkara semasa. ada juga yang fokus kepada perkara akan datang.

Pemimpin yang fokus kepada masa yang lepas.
-Yang lepas sudut positif
-Yang lepas sudut negatif

Pemimpin yang fokus kepada masa semasa.
-Yang semasa sudut positif
-Yang semasa sudut negatif

Pemimpin yang fokus kepada masa akan datang.
-Yang akan datang sudut positif
-Yang akan datang sudut negatif

Sama-samalah kita berdoa untuk menjadi pemimpin yang sentiasa mendapat rahmat Allah SWT dan dapat mengurus masa dengan sempurna.

Link:


No comments: