INFO YANG DITERBITKAN MUNGKIN SEADANYA PADA TARIKH DITULIS. TARIKH DITULIS TIDAK SAMA DENGAN TARIKH DITERBITKAN. PERTAMBAHAN ATAU PERUBAHAN TERHADAP INFO TERSEBUT DITULIS DAN DITERBITKAN PADA TARIKH-TARIKH YANG SETERUSNYA. Contoh: 'ORANGNYA' DITERBITKAN DAHULU TETAPI 'CERITANYA' DITERBITKAN KEMUDIAN. SILA BANTU MEMBANTU SESAMA SENDIRI dalam MENCARI keturunan, keilmuan dan ketuhanan.
SIAP 3/26/15 rUKUN iSLAM (Kulit)
SAMBUNG 3/26/15 tUJUH cONTOH fITNAH
[Belajar Al Quran]

20111208

Cerita Koi (1)


SATU: Cikgu Mail Songsang

Cikgu Mail Kampung Raja Songsang adalah guru Silat Sendeng di Songsang. Pada suatu malam, Cikgu Mail telefon koi dan minta koi datang segera ke rumah. Koi ingatkan Cikgu Mail sakit tenat.

Dengan berkain pelaikat dan berbaju T, koi terus start kereta dan menuju kerumah Cikgu Mail. Masuk kat kawasan rumah Cikgu Mail koi nampak Cikgu Mail dah ada depan pagar rumah.

Belum sempat kereta berhenti Cikgu Mail menunjukkan arah diluar pagar supaya parking kereta disitu. Berhenti aja kereta Cikgu Mail terus masuk dalam kereta. Kata Cikgu Mail, "Kita borok dalam kereta, senang tak ada orang dengar".

Selepas diam seketika, Cikgu Mail terus kata, "Ayah nak tanya awak betul-betul. Dah berapa lama awok jadi anak angkat ayah.?" Mata Cikgu Mail dah mula merah, nampak macam nak menangis dan nak marah.

Hairan juga koi dengan pertanyaan tu, koi jawab , "Dah 30 tahun ayah"

Cikgu Mail terus bertegas, "Dah 30 tahun, kenapa awak tak bagi tau ayah."

"Bagi tau apa ayah ?" tanya koi semula.

Cikgu Mail terus marah, "Tak yah la nak buat-buat tak tau"

"Majid, awak ingat betul-betul. Kalau ada orang jemput awak ... jangan ikut. Kalau orang tu datang dengan kapalterbang sekalipun, jangan naik. Kalau nak naik juga kita naik sama-sama. Kalau perlu dukung ayah, dukunglah. Biar kita mati sama-sama"


DUA: Kedai makan

Koi ni niaga kedai makan. Satu hari tu datang seseorang yang lain macam. Nampak macam orang besar. Beliau masuk dengan tertib dan terus menuju ke koi yang sedang buat air. Dia tanya "Ini Pak Ngah ke?". Koi Jawab "Ya, sila duduk, saya ada kerja, tengah buat air."

Orang tu duduk dan memerhati sekeliling. Ada seorang budak kecil dibayanya. budak kecil tu, memanjat atas kaunter untuk bermain. koi masi tak sempat nak layan orang tu, kerana oder air masih banyak.

Orang tu tegur budak kecil tu " ... jangan buat macam tu. Ini bukan rumah kita". Isteri koi jawab "Tak apalah ... budak".

Koi sendiri tak tau orang tu datang dengan kereta sebesar mana. Tapi oleh kerana melihat koi masih perlu menyiapkan oder air, maka orang tu berjumpa semula dengan koi dan mintak diri nak balik. Koi mintak maaf kerana tak sempat nak layan. Tak pula koi bertanya apa urusannya.

Orang tu masuk ke kereta. Keretanya berpusing dan lalu semula depan kedai koi nak ke jalan besar. Tiba-tiba anak koi ternampak loga depan kereta bersr tersebut. Terus anak koi beritahu koi dalam keadaan terkejut, "Ayah! ayah! orang tu, orang besar kerajaan. Ada logo kerajaan kat depan kereta dia".

Koi rasa tak sedap hati, terus koi cari Tok Penghulu Jazam. Koi ceritakankan pada Tok Penghulu Jazam hal yang telah berlaku. Tok Penghulu jawab dengan selamba, "Orang dari negeri datang nengok awok, tak yah susah hati, buka nak jadi apa-apa."

TIGA: Pindah kubur

Pada suatu hari anak sedara koi ni telefon mintak koi balik kampung. Kampung asal koi adalah Kampung Empau di Budu, Lipis. Dalam telefon anak sedara ni sampai menangis-nangis mintak sangat koi balik Kampung Ampau di Budu. Ada benda dia nak bercerita. Isteri koi kata "Baliklah, orang dah beria ajak". Koi pun setuju balik.

Di Kampung Empau di Budu, anak saudara koi ini ada tanah di sebelah depan tanah koi. Tanah tu dia buat kem motivasi. Sebelah belakang tanah koi pula ada tanah perkuburan. Ayah koi dikebumikan di tanah perkuburan tersebut. Kawasannya atas bukit.

Sampai atas kawasan tanah perkuburan dia mula buka cerita. Katanya "Pak Ngah kena balik ke sini, ini tanah Pak Ngah. Tanah pusaka dan tanah keturunan kita." Beria-ia sungguh dia meminta koi balik ke Kampung Empau di Budu. Dia dah dapatkan duit sebanyak RM20 ribu untuk membuat rumah untuk koi. Terkejut juga koi, sampai situ nekad dia nak bawa balik koi ke Kampung Empau di Budu ni.

Koi kata tak boleh, kena bincang dengan yang lain. Tapi dia beria-ia nak juga koi balik berumah di Kampung Empau. Akhirnya koi tanya dia, "Apa ke hel sebenornya yang koi kena balik kampung"

Kata dia, "Kubur yang ada ini ada dua bahagian. Bahagian ini kubur orang biasa dan bahagian satu lagi adalah kubur pejuang-pejuang. Kubur ayah Pak Ngah telah tersalah tanam dan perlu dipindahkan ke kawasan kubur pejuang."

Koi jawab, 'Eh! kerja memindah kubur bukan kerja main-main, banyak perkara perlu diuruskan." Dia jawab "Koi tau, semua tu koi akan uruskan." Melihat kesungguhan dia dalam usaha nak memindah kubur ayahnda koi maka koi jawab, "Boleh, tapi Pak Ngah mesti ada masa kerja-kerja memindah."

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, koi tanya dia, "Apa cerita sebenarnya sampai terdesak sangat nak pindahkan kubur ?"

Setelah menarik nafas dia bercerita ... ceritanya dia penah buat doa selamat di kem motivasi. Sebaik sahaja selesai doa, tiba-tiba ada tujuh orang berjubah putih mengeliling orang yang baru sudah berdoa. Salah seorang dari orang bertujuh yang berjubah tersebut memberitahu supaya memindahkan kubur ayah Pak Ngah ke kawasan kubur pejuang.

Maksudnya, ayah Pak Ngah adalah pejuang. Maksudnya juga, Pak Ngah adalah keturunan pejuang. Katanya lagi Pak Ngah tau pejuang yang dimaksudkan tersebut siapa. Tak perlu berpura-berpura tak tau.

Koi tau apa yang dia dah tau.

EMPAT: Pesan ayah

Ayah koi pernah berpesan pada koi. Masa tu umur koi 13 tahun. Kata arwah ayah, "Kita adalah keturunan pejuang, engkau pergi kemana-mana pun orang akan tau. Tapi berhati-hatilah".

Nama ayah koi adalah Akob bin Idros. Adakah nama Akob bin Idros adalah nama besar dalam perjuangan orang Melayu atau nama yang sensitif dalam perjuangan orang Melayu. Adakah nama Akob bin Idros adalah nama yang mempunyai kaitan dengan perjuangan Tok Bahaman atau Tok Gajah atau Mat Kilau.

Dalam usia 13 tahun mungkin koi tak mampu atau tak perlu untuk menghuraikan kaitan yang sedemikian. Semenjak mendengar pesanan ayahnda Akob bin Idros, koi 'rasa lain'. Mungkin 'rasa lain' tersebut akan semakin jelas bila koi dan tua. Mungkinkah 'rasa lain' tersebut adalah rasa yang sedang koi rasa sekarang.

Bukan rasa nak berperang atau rasa nak marah. Tetapi rasa nak luahkan sesuatu. Rasa nak betulkan sesuatu.

Ditakdirkan oleh Allah SWT, koi ni dilahirkan untuk sesuatu yang koi tak tau nak bagi tau macam mana. Malah koi tak tau nak bagi tau apa, kenapa, siapa, berapa, bila dan bagaimana. Dengan izin Allah SWT koi harap koi akan jumpa anak kuncinya dan ibu kuncinya.

Nak sangat koi tau apakah yang terkunci selama ini.

LIMA: Mesyuarat Muzium

Koi pernah ikut orang pergi mesyuarat Lembaga Pengarah Muzium. Satu ketika lepas mesyuarat, pengerusi mesyuarat keluar terlebih dahulu. Maka diajaknya koi jalan dahulu ketempat makan. Maka berjalanlah koi beriringan dengan pengerusi. Tidak lama kumpulan mesyuarat pun keluar dan mereka semua mengikut kami di belakang.

Tiba-tiba, Abah Sahamad Malaya berteriak kepada pengerusi " ... tau ke  yang sebelah tu sapa (maksudnya koi ni sapa)." Pengerus diam aja, terus berjalan. Tetapi beberapa kali lagi pengerusi diteriak dengan ayat yang sama. Cukup tiga kali koi paling kebelakang tunjuk penumbuk dan mintak Abah diam. Orang lain ketawa aja lihat gelagat koi dan Abah.

Sampai di meja makan, koi dan pengerusi duduk semeja. Tidak lama naik anak sedara koi. Dia menegur perkara yang sama. Masa itulah barulah pengerusi perasan. Dia terus basuh tangan dan mintak izin untuk meninggalkan majlis, tanpa sempat menghabiskan makanannya.

ENAM: Teater Tun Teja

Ada satu ketika dulu, Temerloh yang aktif dengan kebudayaan dan teater telah bercadang nak buat satu persembahan teater yang besar. Teater Tun Teja.

Sebagai orang yang tahu serba sedikit dan menyimpan cerita-cerita sejarah perjuangan orang Melayu ... koi amat tidak setuju dan amat menentang cadangan untuk membuat persembahan Teater Tun Teja.

Sebagai orang jati Pahang. Orang yang sayangkan Negeri Pahang. Orang yang berdarah pejuang. Koi amat-amat menentang hasrat membuat Teater Tun Teja.

Kenapa?

Tun Teja adalah lipatan cerita sejarah yang memalukan Negeri Pahang. seorang puteri Negeri Pahang telah diculik dan dibawa lari ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka bagi dijadikan Permaisuri.

Kenapa ada yang sanggup menculik ? Kenapa tak ada anak-anak Pahang yang pendekar dan pandai silat dapat mempertahankan Puteri Tun Teja dari diculik. Penakutkah pahlawan Pahang ?

Koi tulis surat membantah perancangan untuk mempersembahkan Teater Tun Teja yang akan memalukan Negeri Pahang dan rakyat Pahang. Koi tulis surat kepada semua orang-orang besar dan berpengaruh.

Koi dengar persembahan Teater Tun Teja ini telah mendapat peruntukan yang besar. Makin besarlah marah koi pada orang-orang yang terlibat. Kenapa nak persembahkan suatu cerita yang menunjukkan kita tidak mampu menjaga seorang Puteri Pahang. Tak malu ke mereka ni nak tunjukkan cerita sebegini kepada masyarakat Pahang.

Kalau koi rasa malu dan tak boleh terima, tentu ada orang lain yang rasa macam koi. Kalau orang-orang tu takun nak berbunyi, biar koi yang bersuara. Koi tulis surat kepada Sultan Pahang sebagai jalan terakhir. Siap bubuh nama penuh dan alamat penuh rumah koi.

Tak lama, koi dapat panggilan telefon. Suara tu berkata, "Awak tau betul cerita Tun Teja? " Koi jawab dengan tegas, "Tau sangat, sebab tu tak nak orang buat main-main dengan cerita Tun Teja".

Akhirnya koi ditunjukkan surat pembatalan peruntukan bagi mengadakan persembahan Teater Tun Teja.

(Mengikut cerita Orang Asli Semelai di Tasik Bera, Hang Tuah telah masuk melalui kawasan mereka dalam usaha hendak menculik Puteri Tun Teja. Hang Tuah telah menyamar sebagai pendakwah untuk menyusup masuk ke Negeri Pahang. Kononnya Hang Tuah telah berjaya mengislamkan mungkin sebahagian Orang Asli Semelai Tasik Bera. Untuk masuk Islam kena bersunat, maka ramailah Orang Asli Semelai Tasik Bera bersunat. Akhirnya bersunat telah menjadi salah satu adat bagi Orang Asli Semelai Tasik Bera.


Setelah berada selama 3 bulan di perkampungan Orang Asli Semelai Tasik Bera maka Hang Tuah bergerak pula ke tempat lain. Dengan keadah yang sama iaitu meresap masuk secara halus dalam masyarakat tempatan di Pahang. Setelah diterima maka Hang Tuah akan bergerak ke kampung lain pula.


Setelah sampai ke Lipis, Hang Tuah telah mempunyai raputasi yang baik dan dengan mudah juga diterima oleh orang Lipis. Tiada siapa sedar tujuan sebenar Hang Tuah adalah untuk menculik Tun Teja)

(Ada cerita pula mengatakan kononnya, Pahang telah menubuhkan satu pasukan bagi menculik semula Tun Teja dari Sultan Melaka untuk di bawa balik semula ke Pahang. Kononnya setelah berjaya diculik semula, Tun Teja telah dibawa ke negeri lain bukan ke Pahang.)

(Sekarang dan ada pula orang yang dikatakan keturunan Tun Teja)

TUJUH: Keturunan Ketujuh Mat Kilau

Pada satu petang anak sedara koi, Atan (Roslizan Ahmad Mahidin), telefon minta koi datang ke sebuah hotel di Sungai Rabit. Katanya Kelab Tun Teja ada membuat sedikit acara di Temerloh. Majlis akan diadakan di Hotel Isis atas Restoran Pallani. Kedatangan koi amat bermakna katanya. Koi pun datang atas ajakan anak sedara. Setelah sampai koi koi di sambut oleh Tuan Seri Ning Buah. Rupanya di Hotel Isis ini ada dewan kecil. Baru ini koi tau.

Masuk dalam dewan tersebut, koi dipersilakan duduk. Baris depan hujung sekali. Orang yang dalam dewan tersebut semuanya koi tak kenal. Mereka sedang menunggu VIP mereka iaitu Pengerusi Kelab Tun Teja . Setelah VIP masuk mereka masih lagi bercakap sesama sendiri. Kelihatannya acara tidak akan bermula lagi kerana masih menunggu sesuatu.

Pada skrin terpapar gambar Pejuang Mat Kilau. Darah koi berderau. bula roma dah mula tegak. Hati dah mula rasa tak sedap hati. Rasa menyesal datang pun mula timbul. Tapi walau apa-apa pun koi kena terus tunggu nak tau apa sebenarnya semua ini.

Tidak lama kemudian Atan anak sedara koi masuk. Rupanya beliau adalah juruaca majlis pada hari ini.

Dalam ucapannya dia berkata, " ... kita sungguh bertuah pada hari ini kerana Keturunan Ketujuh Mat Kilau dan Keturunan Kelapan Mat Kilau ada bersama-sama kita pada hari ini."

Tersirap darah koi, merah padam muka koi, memang jelas orang boleh nampak yang koi sedang marah. Dalam hati koi berkata, "Sampai hati Atan awak buat kat pok sedara macam ni." Hati koi terus meraung dalam diam, "Berani sungguh Atan awok cakap macam tu, perkara ini boleh melibatkan hidup dan mati kita." Koi terus bermonolog sendirian, "Ngapa la awok tak bincang dulu dengan koi sebelum umumkan rahsia keluarga kita." Atan tau koi marah sepanjang majlis tersebut.

Lama selepas tu barulah koi terfikir. Sampai bila nak simpan cerita ini. Sekarang makin banyak orang bercerita. Cerita ini dan tak boleh nak simpan-simpan lagi. Sebab tu pada hari ini (28 November 2011) koi ceritakan cerita ini pada Laman Pahang. Nak berbangga diri mengaku tidak. Nak disanjung koi tak nak. Sekadar nak bercerita, cukuplah sekadar dikedai kopi. Ada cerita yang menjadi hak masyarakat. Biar masyarakat yang tentukan.


>Cerita ini telah diolah/disusun semula mengikut kreativiti Laman Pahang. Cerita ini tidak disiasat dan tidak disahkan. Terserah pada mereka yang berminat dalam siasatan dan pengesahan. Laman Pahang hanyalah sebagai pengumpul dan penulis cerita lisan tentang Orang Pahang dan Negeri Pahang. Kalau ada salah dan silap tolong betulkan.<

No comments: