INFO YANG DITERBITKAN MUNGKIN SEADANYA PADA TARIKH DITULIS. TARIKH DITULIS TIDAK SAMA DENGAN TARIKH DITERBITKAN. PERTAMBAHAN ATAU PERUBAHAN TERHADAP INFO TERSEBUT DITULIS DAN DITERBITKAN PADA TARIKH-TARIKH YANG SETERUSNYA. Contoh: 'ORANGNYA' DITERBITKAN DAHULU TETAPI 'CERITANYA' DITERBITKAN KEMUDIAN. SILA BANTU MEMBANTU SESAMA SENDIRI dalam MENCARI keturunan, keilmuan dan ketuhanan.
SIAP 3/26/15 rUKUN iSLAM (Kulit)
SAMBUNG 3/26/15 tUJUH cONTOH fITNAH
[Belajar Al Quran]

20151001

Mufti Pahang - HAJI OSMAN BIN HAJI SENIK (UTHMAN BIN SENIK)

Utsman Senik - Mufti Pahang selama 20 tahun

Nama lengkapnya ialah Tuan Guru Haji Utsman bin Haji Senik bin Haji Ibrahim bin Haji Salim. Diriwayatkan bahawa beliau adalah keturunan Bugis. Tetapi jika diperhatikan nama ayahnya Haji Senik, menurut lazimnya nama Senik digunakan oleh masyarakat di Patani dan tidak pernah digunakan oleh orang Bugis. Namun, dengan pasti dapat diketahui bahawa Haji Senik mahupun ayahnya Haji Ibrahim meninggal dunia di Kampung Gaung Pendik, Kelantan. Sedangkan yang bernama Haji Salim pula meninggal dunia di Singapura. Tahun kelahiran Haji Utsman belum diketahui dengan pasti. Beliau meninggal dunia di Kampung Ketapang, Pahang pada 12 Ramadan 1336 Hijrah/21 Jun 1918 Masihi)

PENDIDIKAN

Utsman dipercayai mendapat pendidikan awalnya di Kelantan, terutama daripada ayahnya atau datuknya. Pendidikan tentang keIslaman secara mendalam dilanjutkan ke Pondok Bendang Daya, Patani daripada Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani. Selain itu beliau mempelajari ilmu Arabiyah seumpama nahwu, sharaf dan lain-lain, asas tauhid, fikah dan tasawuf. Beliau juga mempelajari ilmu hikmat yang dibangsakan kepada Imam al-Buni seperti tersebut dalam Syamsul Ma'arif al-Kubra, Mujarrabat dan lain-lain.

Dipercayai bahawa Utsman belajar langsung kepada Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani, pengasas Pondok Bendang Daya, dan beliau pula adalah seorang hulubalang Patani yang sangat handal. Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani adalah sahabat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya bersama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ikut dalam satu peperangan besar ketika Kedah dan Patani melawan Siam.

Ilmu hikmat tersebut sangat berguna untuk menghadapi cabaran zamannya, kerana pada zaman itu orang ramai masih menghandalkan kekuatan fizikal berupa pencak silat untuk menghadapi pergaduhan. Permusuhan seringkali terjadi bukan sahaja terhadap sesama manusia tetapi juga dengan haiwan seumpama harimau, ular besar, buaya dan sebagainya.

Ilmu hikmat itulah yang telah dipergunakan oleh Tuan Guru Haji Utsman Pahang sewaktu beliau membuka hutan membuat perkampungan. Kampung yang dibuka itulah yang dikenali dengan nama Kampung Ketapang yang terletak di Pekan, Pahang. Menurut ceritanya, ketika membuka hutan tersebut binatang buas memang tunduk kepada beliau.

Seiring dengan mempelajari ilmu hikmat, Utsman juga mendalami ilmu perubatan tradisional. Beliau pandai membuat berbagai-bagai jenis makjun. Semua ilmu tersebut diperoleh daripada Tok Bendang Daya II al-Fathani tersebut. Setelah itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, guru thala'ah kitabnya di bawah bimbingan Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani. Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya, Utsman mendalami nahwu dengan menggunakan kitab Tashil Nailil Amani kepada pengarangnya, iaitu ulama Patani tersebut. Kitab Tashil Nailil Amani itulah yang beliau ajar hinggalah beliau menjadi Mufti di Pahang.

AKTIVITI DI PAHANG

Dari Mekah Utsman langsung menuju ke Pulau Tawar, Pahang. Sewaktu di Pulau Tawar beliau tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang ulama kerana beliau bergaul dengan orang-orang kebanyakan. Pada peringkat awal dakwahnya, beliau hanya memperlihatkan kebolehan dalam bidang ilmu hikmat. Pada suatu ketika Utsman pernah mengeluarkan sebuah kapal yang telah karam. Pada kesempatan lain beliau pernah didatangi buaya ganas yang telah memakan manusia sehingga buaya tersebut dapat dibunuhnya. Pada kali yang lain pula beliau pernah menangkap harimau buas yang selalu mengancam ketenteraman manusia dan binatang ternakan.

Melihat hal-hal pelik yang menyalahi adat itulah, maka Mat Kilau sejak kecil diserahkan oleh kedua-dua orang tuanya kepada Tuan Guru Haji Utsman untuk diajar berbagai-bagai ilmu fardu ain. Umur Mat Kilau sama dengan anak sulungnya, Haji Juned.

Setelah masyarakat mengetahui bahawa Utsman adalah seorang ulama, maka ramai yang berminat untuk menuntut ilmu kepada beliau. Sehingga Sultan Pahang ketika itu, Sultan Ahmad berkenan melantik beliau sebagai Mufti Kerajaan Pahang Darul Makmur. Sekali gus beliau menjadi orang terkemuka di Kerajaan Pahang, mengajar kaum keluarga Diraja Pahang di istana, selain mengajar orang awam. Beliau menjadi Mufti Pahang selama 20 tahun hingga meninggal dunia dalam tahun 1918 Masihi.

Diriwayatkan bahawa Utsman menjadi mufti selama itu dalam tiga pemerintahan Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad, Sultan Mahmud dan Sultan Abdullah. Selain sebagai mufti, Utsman juga mengasaskan pengajian pondok. Lokasi pondok pengajian, surau dan rumah Utsman terletak di Kampung Ketapang Tengah. Setelah Utsman meninggal dunia pada tahun 1918 Masihi dalam usia hampir 100 tahun, pondok tersebut diteruskan oleh dua orang anaknya.

Perlu juga dicatat bahawa pondok yang diasaskan oleh Utsman di Kampung Ketapang Tengah, Pekan Pahang tersebut adalah pondok pengajian menurut sistem pondok cara Patani yang pertama sekali dalam Kerajaan Pahang Darul Makmur. Pada tahun 1922 Masihi, pondok tersebut berubah sistem menjadi pengajian madrasah. Setelah berbentuk madrasah, bantuan pembiayaan diterima daripada seorang saudagar Arab bernama Habib Hasan al-Attas dan madrasah tersebut dinamakan Madrasatul `Arabiyah Islamiyah Al-Attas. Pada tahun 1966 Masihi, pondok pengajian bekas peninggalan Mufti Haji Utsman itu dijadikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang. Guru Besarnya yang pertama ialah Ustaz Abdul Qadir Kamaluddin, cucu beliau.

Sewaktu Utsman menjadi Mufti Pahang, beliau bergerak cergas membawa ulama-ulama terkenal dari luar dengan tujuan menambah semangat anak tempatan mempelajari agama Islam. Antara ulama besar terkenal yang pernah dijemput datang ke Pahang ialah gurunya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani. Menurut riwayatnya, ulama tersebut datang ke Terengganu pada tahun 1912 Masihi atas permintaan muridnya, Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu. Kedatangan beliau ke Terengganu itu dimanfaatkan oleh semua kerajaan di Semenanjung termasuk Pahang atas kehendak Mufti dan Sultan Pahang sendiri.

Utsman sangat mengasihi gurunya dan bersikap tawaduk kepadanya sehingga beliau mengerahkan murid-muridnya menandu dan mengayuh sampan ketika menjemput dan menghantar pulang Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani itu. Ketika itu perjalanan masih banyak menggunakan perjalanan darat dengan berjalan kaki dan mengharung sungai. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani berada di Pekan Pahang kira-kira sebulan sahaja, namun dalam waktu singkat itu telah dipergunakan oleh Utsman untuk mempelajari ilmu tafsir al-Quran bagi dirinya sendiri. Sedangkan ilmu-ilmu fardu ain lainnya beliau bukakan kepada masyarakat untuk bertanya langsung kepada ulama besar dunia Melayu yang datang dari Mekah itu.

MURID-MURIDNYA

Adapun murid-murid Utsman yang menjadi tokoh terkenal antaranya ialah:

1. Tuan Guru Haji Daud, ketika hidupnya banyak mengajar masyarakat. Beliau berasal dari Patani dan ayah kepada ibu Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).

2. Haji Mat Daud bin Zainal Abidin. Beliau pernah menjadi Qadi Besar Pahang.

3. Lebai Yusof pernah menjadi Qadi Kuantan.

4. Haji Abu Bakar (Datuk Seri Penggawa) bin Haji Abdul Halim (Imam Perang Indera Mahkota).

5. Mat Kilau, Pahlawan Melayu yang terkenal sangat memusuhi penjajah Inggeris.

Dengan mengetahui bahawa Haji Utsman bin Haji Senik, Mufti Pahang ini adalah guru kepada sebahagian besar para tokoh di Pahang termasuk Mat Kilau, ia dapat menambah pengetahuan kita betapa hebatnya peranan ulama silam dalam membina umat di negara ini. ia juga menambah maklumat sejarah, terutama mengenai Mat Kilau yang selama ini kebanyakan para penulis tidak menyebut peranan guru dan ayah angkatnya, iaitu Utsman bin Haji Senik, Mufti Pahang yang sangat berpengaruh dalam lingkungan masyarakat Pahang.

PENULISAN

Utsman bin Haji Senik tidak banyak menghasilkan karangan, yang diketahui hanya dua buah, iaitu: 1. Majliatul Mushalli yang pernah dicetak dengan huruf batu di Singapura. Penulis hanya diperlihatkan oleh Ustaz Haji Abdul Qadir bin Kamaluddin, beberapa lembaran sahaja kerana halaman yang beliau miliki ternyata banyak yang hilang.

2. Kitab Perubatan. Kitab perubatan secara tradisional susunan beliau ini tidak dijumpai lagi. Namun sebagai kesan peninggalan beliau, terkenal suatu makjun yang dinamakan Makjun Telor. Beberapa orang anak cucu beliau masih mengusahakan pembuatan makjun tersebut.

KETURUNAN

Utsman bin Haji Senik berkahwin dua kali. Perkahwinan pertamanya dengan Syarifah berasal dari Kelantan. Perkahwinan ini dianugerahkan beberapa orang anak; 1. Haji Juned. Beliau adalah sahabat Mat Kilau ketika kecilnya. 2. Haji Jamaluddin (meninggal dunia di Mekah) dan 3. Haji Kamaluddin.

Haji Juned pula memperoleh beberapa orang anak. Antaranya, yang men- jadi tokoh masyarakat ialah: Abdul Basit, menjadi guru Kulliyatul Lughah wad Din Sultan Abu Bakar (sekarang Sekolah Tinggi Agama), Dr. Su'udi yang ketika hidupnya menjadi Pensyarah Bahagian Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Haji Kamaluddin pula memperoleh anak bernama Ustaz Haji Abdul Qadir, bekas guru Kulliyatul Lughah wad Din Sultan Abu Bakar. Beliau pula pernah bertugas sebagai Pemeriksa Hal Ehwal Agama Pahang.

Utsman bin Haji Senik berkahwin kali kedua dengan seorang wanita berasal dari Pahang bernama Naubah, iaitu anak saudara kepada isteri Khatib Rasu atau Imam Perang Indera Gajah. Perkahwinan keduanya ini bererti menjalin tali persaudaraan antara keluarga pembesar Pahang dengan ulama.

Rujukan:
1. carigold.com (Mufti Pahang selama 20 tahun)

No comments: