INFO YANG DITERBITKAN MUNGKIN SEADANYA PADA TARIKH DITULIS. TARIKH DITULIS TIDAK SAMA DENGAN TARIKH DITERBITKAN. PERTAMBAHAN ATAU PERUBAHAN TERHADAP INFO TERSEBUT DITULIS DAN DITERBITKAN PADA TARIKH-TARIKH YANG SETERUSNYA. Contoh: 'ORANGNYA' DITERBITKAN DAHULU TETAPI 'CERITANYA' DITERBITKAN KEMUDIAN. SILA BANTU MEMBANTU SESAMA SENDIRI dalam MENCARI keturunan, keilmuan dan ketuhanan.
SIAP 3/26/15 rUKUN iSLAM (Kulit)
SAMBUNG 3/26/15 tUJUH cONTOH fITNAH
[CETAK dan SEMAKAN DAFTAR PENGUNDI]

20170509

Perkampungan Keturunan Melayu Sarawak Di Sungai Lembing

KAMPUNG SARAWAK DI SUNGAI LEMBING,KUANTAN, PAHANG
Penempatan Keturunan Pasangan Haji Abu Bakar dan Dayang Diot

Pertama kali menjejak kaki di perkampungan ini terasa seperti pulang ke Sarawak kerana apabila melihat raut wajah penduduk kampungnya seakan-akan mengenali Si Lihin yang tinggal di Kampung Patingan atau Si Tuyot yang tinggal di Kampung Masjid. Ini kerana rupa paras mereka yang langsung tiada kemelayaan tetapi lebih kepada Melayu Sarawak yang mana hanya orang Sarawak cukup tahu membezakannya. Ditambah lagi apabila berkomunikasi setiap butir bicara yang dilontarkan seperti “kamek”, “kitak”, “ngah”, “anjang”, nenek rempuan, nenek laki dan banyak lagi nama panggilan keluarga Melayu diguna dengan meluasnya. Inilah Kampung “Sarawak” yang bukan berada di bumi Sarawak tetapi nun jauh membelah Laut Cina Selatan iaitu di Sungai Lembing, Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Tanggal 18 Mac 2017 yang lalu menyaksikan Team Admin Borneo Oracle dijemput untuk bersama-sama memeriahkan perhimpunan Waris-waris keluarga Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur bin Abang Qahar di sebuah perkampungan yang cukup sinonim dengan aktiviti perlombongan bijih timah yang terdalam di dunia iaitu di Sungai Lembing. Disinilah juga kami diberikan keizinan untuk membuat kajian sejarah mengenai adanya jejak warisan Melayu Perabangan yang hanya kita ketahui salsilahnya wujud nun di Sarawak Bumi Kenyalang.

Dan setiap butir kajian kami ini adalah berasaskan kepada sidang temubual dengan keluarga golongan Melayu Perabangan Sarawak melalui susurgalur cucu perempuan Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur sendiri iaitu yang bernama
Dayang Diot binti
Abang Othman Krani bin
Abang Abdul Ghafur

Sekarang sudah mencakupi generasi ke-4 dan ke atas. Keluarga Dayang Diot ini sudah bermastautin tetap di perkampungan ini berdekad-dekad lamanya jauh sebelum Gagasan Malaysia itu ditubuhkan pada tahun 1963 lagi.

Keberadaan perkampungan “Sarawak” ini sudah tentu ramai yang tidak mengetahuinya kerana kurang diwar-warkan malah ianya langsung tidak disebutkan di dalam sejarah Sarawak itu sendiri. Namun golongan Melayu Perabangan di perkampungan ini cukup diiktiraf oleh Koloni British yang juga pembuka kepada lombong bijih timah di Sungai Lembing sejak di tahun 1892.

Generasi Dayang Diot inilah satu-satunya dari Kaum Melayu yang diberikan tugas untuk mengemudi bahagian pentadbiran kelas atasan di PCCL iaitu syarikat yang mengendali lombong disitu. Mungkin kerana itulah juga sejak dari dahulu sehingga sekarang, Melayu Perabangan disini amat dihormati oleh penduduk kampung yang lain dan diangkat menjadi ketua masyarakat sejak dari dahulu sehingga sekarang.

Alkisahnya mengapa ada golongan Melayu Perabangan terdampar sehingga ke Sungai Lembing dan membuka sebuah perkampungan dikenali sebagai Kampung “Sarawak” amat sinonim dengan seorang anak Melayu Perabangan yang bernama Dayang Diot binti Abang Othman Krani bin Abang Abdul Ghafur dan suaminya iaitu seorang saudagar yang bernama Tuan Haji Abu Bakar. Menurut kajian lisan diperjelaskan bahawa Tuan Haji Abu Bakar ini juga seorang anak Sarawak yang juga berasal dari Kuching, Sarawak.

Mungkin tokoh bernama Dayang Diot ini tidak dikenali tetapi beliaulah cucunda kepada seorang Melayu Perabangan yang cukup sinonim dengan sejarah Sarawak iaitu anak perempuan kepada Abang Othman iaitu anak lelaki kepada Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur, seorang pahlawan Sarawak yang juga merupakan Datu Imam besar Masjid Bahagian yang pertama. Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur jugalah mempunyai signifikasinya tersendiri sebagai seorang pahlawan Sarawak apabila berani bangun menentang pemerintahan Brooke di Sarawak sehingga membawanya dihukum buang negeri ke Betavia pada tahun 1860 oleh Brooke. Dayang Diot juga merupakan cucunda kepada tokoh pahlawan Sarawak yang cukup kita segani iaitu Datu Patinggi Abang Ali bin Abang Mir melalui perkahwinan Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur dengan puterinya iaitu Dayang Inda binti Datu Patinggi Abang Ali.

Kesemuanya bermula apabila Dayang Diot berkahwin dengan seorang saudagar yang kaya-raya iaitu Tuan Haji Abu Bakar bin Ahmad. Beliau merupakan seorang saudagar yang belayar sehingga ke Siam (Thailand sekarang), Tanah Melayu, Singapura malah juga ke Pulau Natuna membeli barangan untuk diniagakan “barter trade” dari negara-negara ini. Boleh dikatakan bukan calang-calang saudagar ini kerana mempunyai bahteranya sendiri.

Diceritakan sekitar tahun 1890an, ketika sedang berniaga di Singapura melalui rakan-rakan perniagaannya yang mungkin juga golongan saudagar berbangsa Eropah memberitahunya tentang adanya peluang untuk berniaga di Pahang iaitu dikatakan pihak Koloni British sudah berura-ura untuk menggiatkan lagi industri perlombongan bijih timah di Sungai Lembing pada masa itu. Seperti kebanyakan saudagar, Tuan Haji Abu Bakar melihat ini sebagai satu peluang untuk berniaga maka beliau sendiri telah belayar ke Pahang dengan melalui Sungai Pahang dan seterusnya ke Sungai Lembing untuk membeli tanah. Ternyata kedatangan beliau bukan dengan tangan kosong kerana melalui persefahaman dan bijaknya tutur kata beliau maka beliau berjaya meyakini seorang penduduk tempatan untuk menjual tanah kepada beliau.

Dan tanah yang dibeli bukanlah tanah yang sembarangan kerana lokasi tanah itu berada betul-betul di hadapan kawasan lombong iaitu Muzium Sungai Lembing sekarang. Dan usaha membeli tanah dengan mendapat geran tanah yang diluluskan sendiri oleh Residen Pahang itu menyaksikan Tuan Haji Abu Bakar kembali ke Sarawak dan akhirnya membawa seluruh kaum keluarga iaitu 7 anaknya dan isterinya Dayang Diot berserta beberapa orang sanak saudara Dayang Diot dari golongan Melayu Perabangan untuk berpindah ke Sungai Lembing.

Setelah melalui laluan pelayaran yang beronak dan berduri akhirnya mereka sampai jua ke Sungai Lembing. Di kawasan tanah yang dibeli inilah mereka mula membina pondok untuk berteduh buat seketika dan akhirnya rumah kayu diperbuat daripada kayu belian siaplah juga. Bersama 7 anak-anak mereka iaitu
Tuan Haji Dee,
Tuan Haji Terim,
Tuan Haji Ghafur,
Tuan Haji Wailing,
Tuan Haji Hamid,
Puan Hajjah Fatimah dan
Puan Hajjah Saadah
serta kaum keluarga dari Sarawak yang lain itulah mereka memulakan penghidupan di negara orang.

Dari hanya satu rumah papan sebagai rumah induk akhirnya apabila anak-anak sudah membesar dan berumahtangga maka dibina lagi rumah-rumah papan yang lain bagi memenuhi kapasiti keluarga yang semakin membesar. Ironinya walau jauh beribu batu, perkahwinan keluarga ini tetap sentiasa bertemu jodohnya dengan keluarga di Sarawak yang menjadikan keluarga Melayu Perabangan di Sungai Lembing semakin berkembang. Malah sehingga sekarang perkahwinan sesama keluarga ini tetap dilestarikan bagi memastikan jalur keturunan itu tidak hilang.

Pada ketika lombong dibuka pada tahun 1892 menyaksikan ramai penduduk Melayu dari daerah yang lain malahan juga kaum Cina turut sama-sama tinggal di kawasan sekitar lombong bagi merebut limpahan ekonomi dari lombong bijih timah. Dikatakan sekitar tahun 1900an menyaksikan Sungai Lembing sudah dihujani kebanjiran penduduk iaitu sekitar 15,000 orang dengan 6,000 orang daripadanya adalah pekerja lombong bijih timah.

Dari sebuah perkampungan yang sunyi akhirnya Sungai Lembing dimajukan dengan deretan kedai-kedai untuk berniaga. Malah turut ada panggung wayang sendiri yang mana menurut sejarahnya filem James Bond yang pertama pernah ditayangkan disini lebih awal dari mana-mana jajahan Koloni British di nusantara. Di Sungai Lembing juga mempunyai kelab-kelab persendirian atau ‘Boxing Club’ untuk pekerja-pekerja lombong beriadah. Dan keluarga Melayu Perabangan juga diangkat menjadi ketua masyarakat Melayu di Sungai Lembing pada masa itu.

Diceritakan oleh kerana keluarga Dayang Diot mempunyai tanah sendiri yang bergeran di Sungai Lembing menyebabkan pihak PCLL (Syarikat pengusaha lombong) cukup menghormati mereka. Maka disinilah anak-anak lelaki keturunan Dayang Diot menjadi pemain penting sebagai tulang belakang kakitangan kelas atasan di PCLL. Jawatan seperti chargeman, pegawai pentadbiran dan sebagainya sememangnya dikhaskan untuk keluarga mereka. Hanya keluarga ini yang boleh duduk sepejabat dengan penjawat dari bangsa Eropah yang bekerja di PCLL yang menjadikan mereka anak Melayu tempatan pada ketika itu yang boleh berjalan beriringan dengan orang Eropah.

Di ketika Jepun menduduki Malaya iaitu sekitar tahun 1943, pada masa inilah Tuan Haji Abu Bakar meninggal dunia akibat sakit tua. Tuan Haji Abu Bakar disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lembing dan sehingga sekarang makamnya masih utuh dijaga oleh warisnya. Untuk Dayang Diot pula bolehlah disamakan dengan bidalan lama ini iaitu hujan emas di negara orang dan hujan batu di negara sendiri kerana diceritakan sebelum Malaya ditakluki Jepun, beliau telah awal-awal menyampaikan hasratnya untuk “pulai menoa” iaitu ke perkampungan asalnya, Kampung Ajibah Abol, Kuching. Walaupun berat hati untuk keluarganya melepaskan beliau namun diturutkan jua kehendaknya biarpun kesemua anak-anaknya serta suaminya terus memilih untuk menetap di Sungai Lembing. Menurut penceritaan keluarga, Dayang Diot meninggal dunia sekitar tahun 1960 dan dikuburkan di kawasan Masjid Bahagian.

Walaupun ramai orang-orang tua Melayu Perabangan ini sudah ramai yang menyahut seruan ilahi malah rumah induk juga sudah dirobohkan untuk membina sebuah surau yang dinamakan Surau Dayang Diot, namun sehingga sekarang legasi keturunan anak-anak Dayang Diot masih utuh mempertahankan Kampung “Sarawak” mereka dengan masih menjunjung adat Melayu Sarawak walaupun sudah diasimilasikan dengan adat istiadat dan budaya negeri Pahang.

Biar pekan Sungai Lembing tidak sesibuk seperti dahulu kerana lombong bijih timah ditutup sekitar tahun 1984, mereka masih bertahan di Sungai Lembing dan mungkin untuk generasi muda Melayu Perabangan disini lebih memilih untuk bekerja di kota-kota besar seperti di Kuala Lumpur. Bagi golongan yang sudah berusia pula akan pulang ke Kampung “Sarawak” untuk menghabiskan sisa-sisa hidup mereka jauh dari hiruk-pikuk kota.

Inilah ceritanya ada segelintir Melayu Perabangan Sarawak yang akhirnya membuka penempatan digelar Kampung “Sarawak” di Sungai Lembing, Pahang Darul Makmur. Siapa pernah sangka ada satu perkampungan ala-ala Sarawak di bumi Pahang dan susurgalur keturunan Melayu Perabangannya mempunyai signifikasi bersejarah dengan kewujudan lombong bijih timah terdalam di dunia ini. Generasi mereka masih ada malah sudah berkembang sehingga ke generasi ke-7 di Pahang namun tetap kekal dengan identiti Sarawaknya walau dimana jua mereka berada.

Kami terhutang budi kepada Dato Haji Ahmad bin Omar dan Datin Hajjah Rosita bte Hassan serta seisi keluarga Dayang Diot binti Abang Othman bin Abang Abdul Ghafur yang telah memberikan segala info bersejarah ini di dalam merealisasikan artikel Jejak Warisan Melayu Perabangan di Tanah Melayu menjadi satu kenyataan. Semoga ikatan ukhuwah antara kita urang Sarawak akan terus dijunjung walau beribu batu jauh dari tanahair, Sarawak Bumi Kenyalang. Terima kasih.

SUMBER:
https://www.facebook.com/Keturunan-Merpati-Jepang-104705429560825/

No comments: