-DUA KALIMAH SAHADAH-Dimanakah sandarannya? Apakah jawapannya? Bagaimanakah huraiannya?
SILA BACA KOMENT DAN TERBITAN YANG TERDAHULU UNTUK DAPATKAN MAKLUMAT LEBIH LANJUT .

20170509

Sejarah Datuk Merpati dan Merpati Jepang

Datuk Merpati

Datuk Merpati mempunyai kerajaan di Santubong iaitu di negeri Pasir Kuning. Pemerintahan beliau mendapat waat dan taat daripada dua orang pembesar asal iaitu Abang Kuli dan adiknya Abang Ku Ali. Sebelumnya beliau membuka kerajaan di Selabat sebelum berlaku bala bencana di Selabat dan membuka negeri di Kuala Santubong. Manakala dua adik beradik Pembesar asal itu pula membuka negeri di Hulu Sungai Sarawak iaitu di Landeh.

Perkahwinan Datuk Merpati dengan seorang Puteri daripada Kerajaan Johor Lama iaitu Dang Permaisuri  melahirkan dua orang anak iaitu Merpati Jepang dan Dang Seri Bulan. Dang Permaisuri merupakan anak Raja Jarom dan mempunyai beberapa orang lagi adik-beradik lain seperti Datuk Kembali, Datuk Sabtu, Datuk Trawoh, Datuk Padawan, Datuk Lenggong dan Datuk Mahakam.

Walau bagaimanapun terdapat sejawahwan seperti Abang Ishar dari Sanggau berpendapat Dang Permaisuri berasal dari kerajaan Sanggau yang mana, ayahnya Abang Syahrum atau yang dikenali sebagai Raja Jarum menjadi Raja di Santubong, Pendapat ini agak dekat dengan kedudukan Sarawak sendiri kerana Sarawak agak mudah diakses melalui jalan darat dari hulu Sarawak. Namun, perkara tersebut menimbulkan anakronisme yang sangat besar kerana Santubong lebih lama wujud iaitu sejak abad pertama Masihi dan mencapai zaman puncak pada abad-abad ke-7 Masihi sebagai sebuah Pangkalan air tawar di sebelah timur Selat Melaka dan juga sebagai pelabuhan perdagangan. Sedangkan Sanggau wujud pada pertengahan abad ke-15 Masihi.

Permasalahan menentukan asal-usul Datuk Merpati dan Dang Permaisuri menjadikan pensejarahan mereka dari segi periwayatan agak sukar. Namun kemunculan mereka berdua di dalam pensejarahan negeri Sarawak berlaku dalam abad-abad ke-12 Masihi hingga abad ke-16 Masihi iaitu seratus tahun sebelum kehadiran Sultan Tengah ke Sarawak pada 1598.

Pembentukan kerajaan di Santubong ialah pemberian taat orang-orang tempatan di Sarawak kepada pemerintah iaitu dengan menyediakan hasil tuaian padi kepada Datuk Merpati yang dinamakan memupu. Hubungan erat di antara Datuk Merpati dan orang-orang Bidayuh di Hulu Sadong dan orang-orang Melayu di bawah pemerintahan Datuk Abang Kuali dan Abang Kuli menambahkan kemakmuran Sarawak yang terbentuk dari Tanjung Datu hinggalah ke Hulu Sadong.

Walau bagaimanapun hayat Datuk Merpati berakhir dengan pembunuhan beliau semasa hendak mengambil wudhu di Sungai Lundu, Namun demikian, ada pendapat mengatakan beliau mati di Tanjung Datu semasa hendak menuju ke Bukit Datuk Melaka.Kedua-dua pendapat ini berakhir dengan satu kesimpulan iaitu tempat makamnya yang kini terletak di Landeh, Ulu Sungai Sarawak. Makam beliau terletak agak jauh dengan Santubong berdasarkan wasiatnya kepada Dang Permaisuri agar dikebumikan di mana kopiah dan sejadahnya dibawa arus. Akhirnya arus sungai membawa barang-barang tersebut ke hulu sungai Sarawak dan kedudukannya adalah di kawasan kuala Landeh berdekatan dengan petempatan Abang Kuli dan saudaranya.

Mitos ini menjadi kepercayaan para pengkaji dengan menyelongkar lebih mendalam tentang petempatan awal masyarakat Melayu di sekitar hulu Sungai Sarawak hingga ke Kualanya. Ia dimulakan sejak awal tahun 1950 an oleh Tom Harrison di Snatubong, namun belum menjengah ke Hulu Sungai Sarawak. Dikatakan Makam Datuk Merpati dan Makam Datuk Landeh adalah makam yang sama dengan arah kedudukannya seperti yang ditulis oleh Abang Abdul Razak pada tahun 1987. Namun demikian usaha menemui petempatan awal Datuk Kuli dan Datuk Kuali seperti yang diberitakan di dalam penulisan manuskrip Melayu iaitu Simboh sejak 150 tahun dahulu masih belum dapat dilaksanakan. Penulis berharap akan ada masanya penulis menjengah petempatan tersebut bagi memberi ruang yang lebih besar kepada pengkaji lainnya. Apatah lagi kawasan di sekitar Simboh hingga ke Lidah Tanah, merupakan satu kawasan bersejarah yang paling awal sebelum wujudnya bandar Kuching sekarang.

Tanah Perkuburan lama di Lidah Tanah. Kubur seorang lelaki jika dilihat dari bentuk batu nisan yang memanjang. Batu nisan diperbuat daripada batuan granit yang diangkut dari Bukit Paku.

Makam Datuk Landeh di Tapang, Tapang merupakan satu kawasan perkuburan Lama di Landeh yang mendapat nama daripada pokok tapang yang besar-besar di sekeliling perkuburan tersebut.

Datuk Merpati Jepang

Merpati Jepang ialah anak Datuk Merpati. Dilahirkan dalam tahun-tahun pertama Datuk Merpati menjejakkan kaki ke Sarawak. Merpati Jepang berkahwin dengan anak pembesar di Santubong iaitu Dayang Murdiah.

Perkahwinan Dayang Murdiah dan Merpati Jepang menandakan bahawa gelaran perabangan diguna pakai di Santubong dengan gelar keturunan mereka Patih. Anak Merpati Jepang yang pertama ialah Pateh Mengadi dan seterusnya adiknya Pateh Sangkona masing-masing dilantik menjadi Patinggi dan Temenggung. Gelaran perabangan pertama ialah Abang Kebar dan Abang Kertang yang kemudiannya menerima naungan Brunei Darussalam.

Penggunaan nama Pateh dan Patinggi dikatakan warisan daripada emapayar Johor apabila Sultan Mohammad atau Awang Alak Batatar dianugerahi Nobat dan Nagara daripada Yang Pertuan Johor dan seterusnya mewarisi Enam  Buah Kerajaan iaitu Serawak, Samarahan, Sadong, Mukah, Saribas dan Kalaka.

Apabila kehadiran Sultan Ibrahim Ali Omar atau lebih dikenali sebagai Sultan Tengah ke Sarawak, anak cucu Datuk Merpati Jepang sudahpun memberikan taat setia mereka kepada Sultan Tengah di Santubong. Merekalah yang mentadbir Sarawak secara de facto semasa ketiadaan Sultan Tengah semasa pelayarannya ke Johor, Matan dan Sambas. Semasa tragedi pembunuhan Sultan Tengah di Santubong, pembesar-pembesar ini mentadbir di Ulu Sarawak iaitu lebih kurang 32 Km daripada kawasan pembunuhan dan perhubungan pada ketika itu agak sukar kerana kedudukan dan perhubungan yang jauh pada ketika itu.

Di dalam Silsilah Raja-raja Barunai menyebut walaupun ditikam oleh sakainya, Sultan Tengah memerintah selama dua tahun lagi sebelum meninggal dunia pada 1641 tanpa pewaris di Sarawak. Namun demikian beliau mempunyai waris di Sambas dan akhirnya berjaya mendapatkan Sarawak sepanjang garis pantai Tanjung Datu hingga ke Loba Belat di Sarawak daripada Sultan Mahyuddin di antara tahun 1700. Sultan yang berperanan mendapatkan Sarawak pada ketika itu ialah Sultan Tajuddin atau Raden Bima iaitu anakanda kepada Sultan Muhammad Syafiudin I atau Raden Sulaiman, anakanda Sultan Tengah.

Kesimpulan

Datuk Merpati dan Merpati Jepang ialah orang yang berlainan. Mereka ini adalah anak beranak yang pernah mewarnai sejarah dan pensejarahan negeri Sarawak pada suatu ketika sehingga nama mereka meniti di bibir setiap Melayu di Sarawak. Bahkan bukan sahaja masyarakat Melayu, masyarakat daripada etnik lain misalnya etnik Sebuyau, etnik Sadong, dan etnik Jagoi Tembawang mengakui kewujudan Datuk Merpati di dalam sejarah lisan mereka sehingga dirakamkan pada tahun 1949 oleh Sarawak Museum Journal.
Sekiranya ada yang mengaku Sarawak diasaskan oleh mereka yang tidak berkenaan, amatlah sukar untuk dipercayai kerana kajian yang dijalankan oleh penyelidik tempatan mahupun luar negara memang mengatakan bahawa Negeri-negeri Melayu di Sarawak memang wujud dan pernah menjadi negeri-negeri yang berdaulat dalam tempoh yang agak lama sehinggalah kehadiran James Brooke ke Sarawak.

SUMBER:
http://puteraserawak.blogspot.my/2017/01/merungkai-kekeliruan-datuk-merpati-dan.html

No comments: