Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah ibni Daeng Celak.
Pahlawan besar Melayu-Bugis yang mangkat ketika diserang Belanda di Teluk Ketapang, Melaka 1784
Ketahuilah
olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah peperangan orang-orang Bugis.
Tetapi ini adalah peperangan untuk mengembalikan maruah dan kehormatan sekalian
diri orang-orang Melayu yang telah dipijak-pijak oleh penjajah Belanda
laknatullah. Akan tetapi Belanda itu telah mencanangkan bahawa aku dan sekalian
orang Bugis tidak berpuas hati dengan pengagihan hasil rampasan tembakau dari
Kapal Betsy kepunyaan Perancis yang menceroboh Selat Melaka itu.
Adapun
kita adalah orang-orang Melayu yang beriman kepada Allah Taala juga menyakini
bahawa peristiwa itu hanyalah asbab yang telah menyatukan orang-orang Melayu
dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari Batang Tiga untuk menghambat
Belanda keluar dari Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya,
Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera sebelum kita berkubu di
Teluk Ketapang. Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan kita dalam
peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti tikus dikejar naga berkubu
di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.
Yakni
dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk mengembalikan tanah, udara, air
dan laut yang telah dirampas oleh penjajah kepada orang-orang Melayu yang sudah
beratus tahun membina kehidupan, membina kota dan pelabuhan di tanah air ini.
Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan pelabuhan yang terbakar dan
ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang Melayu di seluruh kampung, daerah,
kota dan pelabuhan wajiblah bangun menentang dan menghalau mereka. Sesungguhnya
orang-orang Melayu itu bersaudara dan kita tidak akan kalah dalam mana-mana
peperangan pun, jika kita bersatu padu di jalan Allah.
Syahadan
untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia bagai
mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah musuh yang nyata sama ada yang
terang-terang terlihat pada mata kasar mahupun yang berselindung di sebalik
hati manusia. Terbukti kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di Terengganu,
Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka, Pontianak,
Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain.
Telah
bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan persengketaan yang berlaku sesama
sendiri dan mematahkan muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai,
maka damailah yang kumeterai. Mana yang berkehendakkan peperangan, maka
peperanganlah yang kupimpin kerana sudah dua ratus tahun lebih kita masih
dijajah bahana berebutkan kuasa yang tidak habis-habisnya, saling berhasad
dengki dan bersubahat dengan musuh. Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil,
hasil diperas dan tubuh diperhamba.
Maka
pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan dengan 17 Jun 1784, di
Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang tertulis. Warkah ini kutulis di
atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan
doa panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Quran di sebelah kananku. Kitab
Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di pinggangku.
Sungguhpun
demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di kalangan armada perang Melayu
yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh
dalam selimut. Berwajah Melayu berhati Belanda. Usahlah ditanya bagaimana aku
mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah mengkehendaki
terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun yang dapat mengelakkannya.
Biarkan
sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan mengepung aku. Syak fasik,
yakin salih; batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si munafik! Aku sesekali
tidak pernah takut kepada kalian. Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki
Melayu yang sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji
perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya
sentiasalah aku hidup di sisi Allah Taala. Matimu di medan perang ini, tandanya
celakalah engkau di akhirat kelak.
Seyogia,
ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi kepadaku janganlah dimungkirkan
kafiat jalanku ini kerana ia akan hanya mengulangi kekhilafan malaikat apabila
Allah menyatakan kehendak-Nya mahu menciptakan manusia untuk dijadikan khalifah
di atas muka bumi yang akan ada di kalangan manusia saling menumpahkan darah.
Janganlah
kita lupa pengakuan azali kita di depan Allah. Janganlah kita melupai ilmu yang
Allah ajarkan secara langsung daripada sisi-Nya kepada kita. Kerana dengan
itulah kita, manusia ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan para
malaikat-Nya, kata Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui daripada
apa yang kamu tahu.’
Allah
Maha Besar!
Andai
aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi fitnah yang tidak
habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di sepanjang sejarah akan datang.
Manusia Melayu munafik, pengkhianat, pendengki dan petualang akan sentiasa
muncul di kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu hitam
pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang.
Akan
ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan menyambung lidah Belanda
menuduh aku berjuang dan berperang kerana mabukkan harta dan kuasa.
Sesungguhnya moyang poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara bukanlah mahu
disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan apa yang kami
inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan mempunyai
kehormatan diri.
Maka
Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan
petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini
yang akan menyambung perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami
dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita
mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun
bilangan mereka tidaklah seramai golongan munafik dan petualang.
Mereka
berani mati sehinggalah si petualang bangkit daripada sujud tatkala imam dan
jemaah masih bersujud, lalu ditancamkan pisau di belakang antara mereka. Maka
sesekali tidak mengundang gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka
syahid lah dia. Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan menjadi
saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah dicam dan diberkas
seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal dan Yang Akhir.
Ketahuilah
wahai saudaraku. Bahawasanya umat Melayu tidak akan sesekali ghaib daripada
muka bumi ini yang Allah telah takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat
dan lautan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil lagi
saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah. Maka Allah
mengurniakan rahmat dan berkat daripada tujuh petala langit dan tujuh petala
bumi dan semua penduduk bumi dan langit mendoakan kesejahteraan bagi segenap
isi negeri.
Sesungguhnya
akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu
dan sanggup mati di jalan Allah. Mereka bersedia berperang dengan musuh
daripada belahan dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada
peradaban ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan
diterima sebagai penasihat ulil amri. Para ahli sufi terbebas daripada fitnah
ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup makan dan untung berniaga, tanpa ada
penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan keadilan
sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu
akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan.
Peraturan-peraturan mereka ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.
Syahadan,
ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting,
dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait. Justeru tetapkanlah
waspada sebagai pengawal di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa
baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan
Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi
serempu pula. Lalu timbullah perebutan, hasad, iri hati dan sengketa. Kalau
rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk.
Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di
dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.
Musuh
yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga
memancung leher. Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada
ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan
pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di jalan syaitan
adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama zaman makmur.
Maka
jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang
dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan
tujuh petala langit bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula
air mataku. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai
seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila
memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah pula ujian dan
balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula pengkhianatannya; apalah pula
penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya.
Segala
ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap junjungan nabi kita
ketika saat-saat sakaratulmaut menjelang, telah terucap di mulutnya yang mulia
‘umatku, umatku, umatku!’ Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman
manapun kalian berada sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan
sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan
lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan jiwa.
Ya
Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada awalnya
Ya
Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada akhirnya.
Ya
Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada setiap ketika.
Tatkala
sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh kapal perang armada Belanda
pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu, sudahpun tiba di pantai. Demi Allah,
yang hidup dan matiku hanyalah di tangan-Nya, sedikitpun aku tidak berasa
gentar, apatah lagi untuk berundur walau seinci pun ke belakang kerana kuyakini
Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji janji-Nya dan panji kebenaran-Nya.
Biarlah luka di dada jangan luka di belakang.
Rencana
si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila mereka dapat masuk menyelinap
ke dalam kubuku, merampas pemurasku yang disandarkan ke dinding, maka ketika
itu sampailah ilham daripada Allah kepadaku. Bahawa aku kini hanya ada sebilah
badik tersisip di pinggang dan hijap yang terangkat antara aku dengan Tuhanku.
Seraya langsung aku memanjatkan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku telah dizalimi
dan dikhianati. Aku bentangkan ke hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan
segala fakir dan hina diriku, Engkau jadikanlah warkahku ini terhijab daripada
pandangan mata setiap munafik dan musuh-musuhku serta Engkau peliharakanlah
warkahku ini hingga sampai ke hujung zaman agar dapat dibaca dan ditilik oleh
anak cucu cicit kami pada kemudian hari.
“Ya
Allah. Tidak sampai hati mahu ku pinta celaka untuk segolongan Melayu yang
bersubahat dengan penjajah itu. Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di
kemudian hari berjuang dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu.
Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui dan
cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah. Sungguh Engkau
Maha Mengabulkan doa.”
Tatkala
itu munafik-munafik itu mahu menangkap aku yang masih bertimpuh di atas
sejadah. Namun demikian dengan kuasa Allah Taala segala sendi pada tubuh
mereka, terkunci kaku seperti patung adanya. Maka bingkaslah aku daripada duduk
lalu aku pandang satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah, peluru
perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang
diadang. Tiada gunanya lagi kata-kata kerana perut tidak bertelinga. Sesudah
itu berjalanlah aku menuju ke muka kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah
laknatullah itu pada pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari.
Syarak yang mengata, adat yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan
Dalilul Khairat di tangan kiri, lidahku berwiridkan selawat.
Bammm!!!
Bunyi
bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal Belanda yang muncungnya
dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara. Ah! Sungguh beruntung pengkhianat
itu kerana dapat menyaksikan lagi kuasa Allah apabila peluru lela rentaka
meletup di dalam lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah askar Belanda berselerak
di atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam laut. Beranak pinaklah pula
bunga-bunga api membakar kapal perang itu. Panglima Perang Belanda Peter van
Braam nyatalah amatlah terkejut adanya. Bertambah maraklah lagi semangat jihad
yang menjulang-julang dalam dada pejuang-pejuang Melayu. Bertambah amuklah
mereka hingga berkecamuk barisan penembak pasukan askar Belanda itu.
Lantas
bertafakurlah aku apabila melihat keadaan itu. Aku berserah sepenuhnya kepada
Allah untuk menetapkan apa jua keputusan-Nya. Beberapa ketika kemudian dapatlah
aku ilham daripada-Nya seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu
seluruh jiwa dan ragaku. Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada
kehormatanku dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh penjajah laknat
ini setelah ditipudayakan oleh petualang daripada bangsa kami sendiri.” Arakian
Panglima Perang Belanda itu sendiri segera menyalakan sumbu ubat bedil merim
lela rentaka yang muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.
Bammm!!!
Maka
sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada dadaku.
Jasadku
rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka terpinga-pingalah para
munafik dan petualang apabila melihat askar penjajah memijak-mijak batang
tubuhku, membakar al-Quran dan Dalilul Khairat. Badikku pula dilemparkan ke
dalam laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah masyghulku, tetapi seketika
itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah tanda-tanda doaku yang telah
dimakbulkan Allah.
Sumber: amz-eli.blogspot.com